This post is also available in:
English
简体中文 (Chinese (Simplified))
Perkhidmatan bagi Cukai Pegangan di Malaysia
Bayaran pakej untuk perkhidmatan bagi cukai pegangan di Malaysia
Pakej Disedia | Bayaran (RM)* tertakluk kepada Cukai Perkhidmatan |
Pengemukaan borang cukai pegangan | Dari RM500 bagi setiap pengemukaan |
Khidmat nasihat cukai pegangan | Dari RM2,000 ^ |
^ Bergantung kepada kerumitan kerja dan masa.
Pengenalan – Apa itu cukai pegangan
Cukai pegangan ialah satu amaun yang dipegang oleh pembayar terhadap pendapatan yang diterima oleh individu/badan Bukan Pemastautin (penerima) dan dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).
‘Pembayar’ merujuk kepada individu/badan yang menjalankan perniagaan di Malaysia yang perlu membayar cukai pegangan terhadap sebarang bentuk bayaran perkhidmatan/khidmat nasihat/sewa harta mudah alih/royalti/faedah/kontrak yang diterima oleh penerima Bukan Pemastautin.
‘Penerima’ merujuk kepada individu/badan Bukan Pemastautin selain dari individual di Malaysia yang menerima bayaran yang tersebut di atas.
Potongan Cukai Pegangan
Akta Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan bahawa apabila seseorang (dirujuk sebagai “pembayar”) layak membuat bayaran seperti disenaraikan di bawah ini (kecuali bayaran kepada seniman kembara BukanPemastautin) kepada seorang tidak bermastautin (penerima Bukan Pemastautin), beliau hendaklah memotong cukai pegangan dengan kadar tertentu daripada bayaran itu dan (sama ada atau tiada cukai dipotong ) membayar cukai itu kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri dalam tempoh satu bulan selepas bayaran itu dibuat atau dikreditkan kepada penerima Bukan Pemastautin.
Jenis bayaran | Akta Cukai Pendapatan 1967 | Kadar Cukai Pegangan | Borang Bayaran |
Faedah | Seksyen 109 | 15% | CP37 |
Royalti | Seksyen 109 | 10% | CP37 |
Pendapatan kelas khas: Bayaran teknikal, bayaran perkhidmatan, sewa / bayaran bagi penggunaan harta mudah alih | Seksyen 109B | 10% | CP37D |
Bayaran kontrak | Seksyen 107A (1) (a) & 107A (1) (b) | 10%, 3% | CP37A |
Pendapatan bawah Seksyen 4(f) ACP 1967 | Seksyen 109F | 10% | CP37F |
Semua bayaran cukai pegangan (kecuali bagi seniman kembaraBukanPemastautin) mesti dikemukakan dengan borang bayaran yang berkaitan yang telah dilengkapkan, bersama-sama dengan salinan invois dari pihak penerima BukanPemastautin dan salinan dokumen bayaran sebagai bukti tarikh pembayaran / dikreditkan kepada penerima Bukan Pemastautin.
Faedah Dibayar Kepada Orang Tidak Bermastautin (Penerima)
Faedah yang dibayar kepada penerima BukanPemastautin adalah tertakluk kepada cukai pegangan pada kadar 15% (atau apa-apa kadar lain yang dinyatakan di bawah Perjanjian Pengelakan Percukaian Dua Kali antara Malaysia dengan mana-mana negara di mana penerima BukanPemastautin ialah pemastautin negara tersebut). Cukai ini adalah cukai muktamad.
Faedah dianggap sebagai diperolehi dari Malaysia jika:
a.Tanggungjawab pembayaran adalah oleh kerajaan Malaysia atau kerajaan negeri atau
b.Tanggungjawab pembayaran adalah oleh pemastautin di Malaysia;atau
c.Faedah yang dituntut sebagai perbelanjaan atau belanja ke atas apa-apa pendapatan yang terakru di dalam atau yang diperolehi di Malaysia.
Faedah yang tidak tertakluk kepada cukai pegangan:
a.Faedah dibayar kepada penerima Bukan Pemastautin atas pinjaman yang diluluskan.
b.Faedah dibayar kepada penerima Bukan Pemastautin oleh bank atau syarikat kewangan yang dilesenkan di Malaysia selain dari:
i.Seperti faedah terakru kepada sesuatu perniagaan yang dijalankan di Malaysia oleh penerima Bukan Pemastautin.
ii.Faedah atas pembiayaan yang diperlukan untuk mengekalkan Dana Kerja Bersih seperti yang telah ditetapkan oleh Bank Negara.
Pembayar dikehendaki dalam tempoh satu bulan selepas tarikh pembayaran dibuat/mengkreditkan faedah hendaklah meremitkan cukai pegangan (sama ada atau tiada cukai dipotong) kepada LHDN.
Royalti yang dibayar kepada Orang Tidak Bermastautin (Penerima)
Royalti ditakrifkan sebagai :
Sejumlah amaun yang dibayar sebagai balasan/pertimbangan bagi penggunaan sesuatu atau hak untuk menggunakan sesuatu :
a. Hak cipta, artistik atau kerja-kerja saintifik, ciptaan-ciptaan, reka bentuk atau model-model, pelan-pelan, proses atau formula rahsia, tanda perdagangan atau pita-pita untuk penerbitan radio atau televisyen, filem wayang gambar, filem-filem atau pita video atau lain-lain bentuk penghasilan semula yang mana filem atau pita itu telah atau akan digunakan atau dihasilkan semula di Malaysia atau lain-lain seperti harta atau hak.
b. Kepakaran atau maklumat teknikal, perindustrian, pegetahuan komersil atau saintifik, pengalaman atau kemahiran.
c. Pendapatan yang diperolehi daripada perniagaan apa-apa harta, kepakaran atau maklumat yang dinyatakan seperti yang ditakrifkan di perenggan di atas.
Setelah Akta Kewangan 2016 berkuatkuasa, definisi “royalti” ditakrifkan semula seperti berikut: “royalti” adalahtermasuk apa-apa amaun yang dibayar untuk, atau diperolehi daripada
a. penggunaan atau hak untuk menggunakan mana-mana hakcipta, perisian, artistik atau saintifik, paten, reka bentuk atau model, pelan-pelan, proses atau formula rahsia, tanda perdagangan atau lain-lain seperti harta atau hak;
b. penggunaan atau hak untuk menggunakan pita-pita untuk penerbitan radio atau televisyen, filem wayang gambar, filem atau pita video atau lain-lain cara penghasilan semula yang mana filem atau pita itu telah atau akan digunakan atau dihasilkan semula di Malaysia atau lain-lain harta atau hak;
c. penggunaan atau hak untuk menggunakan kepakaran atau maklumat teknikal, perindustrian, pengetahuan komersil atau saintifik, pengalaman atau kemahiran;
d. penerimaan, atau hak untuk menerima, imej visual atau bunyi, atau kedua-duanya disebar kepada umum melalui
- i. satelit; atau
- ii. kabel, gentian optik atau teknologi yang serupa;
e. penggunaan atau hak untuk menggunakan, imej visual atau bunyi, atau kedua-duanya, berkaitan dengan penyiaran televisyen atau radio, disebar melalui-
- i. satelit; atau
- ii. kabel, gentian optik atau teknologi yang serupa;
f. penggunaan atau hak untuk menggunakan, sebahagian atau semua bahagian daripada spektrum frekuensi radio yang dinyatakan dalam lesen yang berkaitan;
g. kesabaran menyeluruh atau sebahagian berkaitan dengan-
- i. penggunaan, atau pemberian hak untuk menggunakan, apa-apa harta atau hak yang disebut dalam perenggan (a) atau (b) atau apa-apa pengetahuan, pengalaman atau kemahiran yang disebut dalam perenggan (c);
- ii. penerimaan, atau memberikan hak untuk menerima, sebarang imej visual atau bunyi yang disebut dalam perenggan (d);
- iii. penerimaan, atau pemberian hak untuk menerima, apa-apa imej visual atau bunyi yang disebut dalam perenggan (e); atau
- iv. penggunaan, atau pemberian hak untuk menggunakan, sebahagian atau semua bahagian daripada spektrum yang dinyatakan dalam lesen spektrum sebagaimana yang disebut dalam perenggan (f); atau
h. pemindahan milik atas mana-mana harta, kepakaran atau maklumat yang disebut dalam perenggan (a), (b) atau (c) takrif ini ;.
Jumlah kasar amaun royalti yang dibayar kepada penerima Bukan Pemastautin adalah tertakluk kepada cukai pegangan pada kadar 10% (atau apa-apa kadar lain yang ditetapkan di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali antara Malaysia dan negara di mana penerima Bukan Pemastautin adalah pemastautin negara tersebut). Cukai ini adalah cukai muktamad.
Royalti dianggap diperolehi dari Malaysia jika:
a. Tanggungjawab pembayaran adalah oleh kerajaan Malaysia atau kerajaan negeri, atau
b. Tanggungjawab pembayaran adalah oleh pemastautin di Malaysia atau:
c. Royalti yang dituntut sebagai perbelanjaan atau belanja ke atas apa-apa pendapatan yang terakru di dalam atau yang diperolehi di Malaysia.
Pembayar dikehendaki dalam tempoh satu bulan selepas tarikh pembayaran/dikreditkan royalti hendaklah meremitkan cukai pegangan (sama ada atau tiada cukai dipotong) kepada LHDN.
Pendapatan tertentu kelas-kelas khas Dibayar kepada Penerima Bukan Pemastautin
Pendapatan tertentu kelas-kelas khas termasuk:
a.Perkhidmatan-perkhidmatan yang diberi oleh seseorang Bukan Pemastautin atau pekerjanya berkaitan dengan penggunaan harta atau hak-hak yang dipunyai olehnya, atau pemasangan atau pengendalian apa-apa loji, jentera atau alat-alat lain yang dibeli daripada Bukan Pemastautin tersebut;
b.Nasihat teknikal, bantuan atau perkhidmatan-perkhidmatan yang diberi berkaitan dengan pengurusan atau pentadbiran teknikal apa-apa perusahaan, usaha, projek atau skim saintifik, perindustrian atau perdagangan; atau (Nota **)
c.Sewa atau pembayaran lain yang dibuat di bawah apa-apa perjanjian atau persetujuan bagi penggunaan apa-apa harta boleh alih,
*Para (a) dan (b) adalah terpakai sekiranya perkhidmatan dilakukan di Malaysia. (dimansuhkan setelah Akta Kewangan 2016 berkuatkuasa)
Nota *: Setelah Akta Kewangan 2016 berkuatkuasa, pendapatan yang diperolehi oleh bukan pemastautin di bawah Seksyen 4A (i) dan (ii) dan disifatkan sebagai diperolehi dari Malaysia adalah tertakluk kepada cukai pegangan tanpa mengira sama ada perkhidmatan tersebut dilaksanakan dalam Malaysia atau di luar Malaysia.
Nota **: Akta tersebut akan diubah seperti berikut: –
amaun yang dibayar sebagai balasan atas apa-apa nasihat yang diberikan, atau bantuan atau perkhidmatan yang diberikan berkaitan dengan mana-mana usaha sains, usaha, projek atau skim saintifik, perindustrian atau komersial; atau. (Berkuat kuasa mulai berkuatkuasanya Akta Kewangan 2018)
Pengecualian Cukai Pegangan yang Berkaitan dengan S.4A (i) dan S.4A (ii) Pendapatan
Perintah Cukai Pendapatan (Pengecualian) (No. 9) 2017 [PU (A) 323] telah diwartakan pada 24 Oktober 2017. Perintah ini mengecualikan seseorang yang tidak bermastautin di Malaysia daripada pembayaran cukai pendapatan berkenaan dengan pendapatan yang jatuh di bawah Seksyen 4A(i) dan (ii) ACP 1967, di mana perkhidmatan diberikan dan dilaksanakan di luar Malaysia. Menurut perenggan 3 Perintah, S.109B ACP 1967 tidak berkenaan dengan pendapatan yang dikecualikan di bawah Perintah ini.
Perintah pengecualian itu mula berkuat kuasa pada 6 September 2017.
Bayaran dianggap diperolehi dari Malaysia jika:
a. Tanggungjawab pembayaran adalah oleh kerajaan Malaysia atau kerajaan negeri; atau
b. Tanggungjawab pembayaran adalah oleh pemastautin di Malaysia.
c. Jika pembayaran di atas atau pembayaran lain dituntut sebagai perbelanjaan atau belanja daripada sesuatu perniagaan yang dijalankan di Malaysia.
Jumlah kasar bagi ‘Pendapatan Tertentu Kelas-kelas Khas’ yang dibayar untuk perlaksanaan perkhidmatan di atas oleh penerima Bukan Pemastautin adalah tertakluk kepada 10% cukai pegangan (atau apa-apa kadar yang telah dinyatakan/ditetapkan di dalam Perjanjian Cukai Dua Kali di antara Malaysia dengan lain-lain negara yang mana penerima Bukan Pemastautin adalah pemastautin negara tersebut). Cukai ini adalah merupakan cukai muktamad.
Pembayar dikehendaki dalam tempoh satu bulan selepas tarikh bayaran dibuat/ dikreditkan kepada penerima Bukan Pemastautin, meremitkan cukai pegangan (sama ada atau tiada cukai dipotong) kepada LHDN.
Bayaran kontrak kepada kontraktor Bukan Pemastautin (Penerima)
Bayaran kontrak yang dibuat kepada kontraktor Bukan Pemastautin berkaitan dengan perkhidmatan di bawah kontrak yang tertakluk kepada cukai pegangan: –
a. 10% ke atas bahagian perkhidmatan bayaran kontrak berhubung cukai yang kena dibayar oleh penerima Bukan Pemastautin;
b. 3% ke atas bahagian perkhidmatan bayaran kontrak berhubung cukai yang kena dibayar oleh pekerja penerima Bukan Pemastautin;
“Perkhidmatan di bawah kontrak” bermaksud apa-apa kerja atau perkhidmatan profesional yang dijalankan atau dilaksanakan di Malaysia berkaitan atau berhubung dengan apa-apa usaha, projek atau skim yang dijalankan di Malaysia; dan
Pembayar dikehendaki dalam tempoh satu bulan selepas tarikh bayaran dibuat atau mengkreditkan bayaran kontrak kepada penerima Bukan Pemastautin, meremitkan cukai pegangan (sama ada atau tiada cukai dipotong) kepada LHDN.
Seniman Kembara Bukan Pemastautin
‘Seniman Kembara’ bermakna orang yang mengadakan pertunjukan di atas pentas, artis di radio atau televisyen, pemuzik, atlet atau individu yang menjalankan apa-apa profesion, kerjaya atau pekerjaan di dalam bidang yang sama iaitu berbentuk hiburan.
Setelah Akta Kewangan 2016 berkuatkuasa, definisi “penghibur awam” ditakrifkan semula seperti berikut:
“Penghibur awam” adalah termasuk
a. pengantar, model, ahli sarkas, pensyarah, penceramah, atlet, artis atau individu yang menjalankan apa-apa profesion, kerjaya atau pekerjaan berbentuk hiburan; atau
b. individu yang menggunakan intelektual, artistik, muzik, peribadi atau kemahiran fizikal atau watak dalam,
menjalankan apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan sebarang tujuan melalui kehidupan, percetakan, elektronik, satelit, kabel, gentian optik atau medium lain, untuk filem atau pita, atau untuk penyiaran televisyen atau radio, sebagaimana yang berkenaan.
Imbuhan atau lain-lain pendapatan berkaitan dengan perkhidmatan yang dijalankan atau dilaksanakan di dalam Malaysia oleh seniman kembara Bukan Pemastautin adalah tertakluk kepada cukai pegangan pada kadar 15% ke atasjumlah kasar bayaran diterima.
Mengikut amalan biasa yang mana penganjur bagi seniman kembara Bukan Pemastautin perlu membayar cukai pegangan sebanyak 15% sebelum permit kebenaran masuk ke Malaysia untuk seniman kembara Bukan Pemastautin diperolehi daripada Jabatan Imigresen.
Pendapatan di bawah Seksyen 4 (f)
Bermula 1 Januari 2009, satu mekanisme untuk memungut cukai pegangan pada kadar 10% ke atas lain-lain jenis pendapatan bagi Bukan Pemastautin di bawah Seksyen 4 (f) Akta Cukai Pendapatan, 1967 telah diperkenalkan. Pendapatan di bawah Seksyen 4 (f) merujuk kepada keuntungan yang tidak termaktub di bawah Seksyen 4 (a) hingga 4 (e) Akta Cukai Pendapatan, 1967.Pendapatan di bawah Seksyen 4 (f), berdasarkan pandangan LHDN, termasuk komisen, yuran jaminan dan yuran pengenalan yang mana ini adalah bukan pendapatan perniagaan penerima.
Akibat tiada potongan atau bayaran cukai
Kegagalan untuk membuat potongan dan membayar cukai pegangan kepada LHDN dalam masa satu bulan selepas tarikh bayaran dibuat/dikreditkan kepadapenerima Bukan Pemastautin boleh mengundang perkara berikut kepada pembayar:
- LHDN boleh mengenakan penalti pembayaran lewat pada kadar 10% ke atas amaun cukai yang belum dibayar;
- perbelanjaan tidak boleh dijadikan sebagai potongan cukai dan tiada elaun modal diberikan ke atas perbelanjaan modal yang dibayar kepada Bukan Pemastautin; dan
- LHDN boleh mendapatkan semula cukai pegangan dan penalti dari pembayar sebagai hutang yang kena dibayar kepada Kerajaan.
Bermula 1.1.2011 bagi tahun taksiran 2011, sebagai penambahan kepada penalti pembayaran lewat tersebut di atas, Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri boleh mengenakan penalti di bawah subseksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 jika –
i. potongan cukai pegangan dibuat atau dibayar selepas tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi tahun taksiran yang berkaitan dengan pembayaran tersebut, dan
ii. potongan bagi perbelanjaan yang berkaitan dengan pembayaran tersebut dikemukakan atau dituntut dalam pengiraan pelarasan pendapatan pembayar [proviso kepada perenggan 39 (1) (j) Akta Cukai Pendapatan, 1967] yang dibuat di dalam pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.
Ini adalah tanpa mengira jika cukai pegangan dan penalti pembayaran lewat telah dibayar kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.