This page is also available in: enEnglish (English)

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Malaysia

Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan bahawa Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau Sales and Service Tax (SST) akan dikuatkuasakan di Malaysia bermula 1 September 2018.

Langkah pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST pada kadar 6% telah membuka laluan untuk SST diperkenalkan semula, yang akan dikuatkuasakan pada 1 September 2018. Sebelum GST pada kadar 6% (yang diperkenalkan pada 2015), Malaysia melaksana Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Ditadbir di bawah Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975, Cukai Jualan merupakan cukai persekutuan yang dikenakan ke atas penggunaan pelbagai barangan secara meluas sementara Cukai Perkhidmatan pula dikenakan ke atas pengguna yang menggunakan perkhidmatan bercukai tertentu. Kawasan bebas cukai yang ditetapkan termasuklah Pulau Langkawi, Pulau Tioman dan Pulau Labuan yang terkecuali daripada Cukai Perkhidmatan. Halaman ini bakal membantu anda memahami apa itu SST dan bagaimana ia memberi kesan kepada kita.

 

Cukai Perkhidmatan

Cukai Perkhidmatan di Malaysia merupakan satu bentuk cukai tidak langsung yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu yang ditetapkan di Malaysia merangkumi makanan, minuman dan tembakau, atau kadang-kadang digelar “perkhidmatan bercukai”. Pembekal perkhidmatan profesional dan perunding, sama ada firma profesional atau perseorangan seperti jurukira, peguam, jurutera, jurubina, syarikat insurans dan sebagainya tertakluk kepada cukai perkhidmatan. Bagaimanapun, cukai perkhidmatan tidak boleh dikenakan bagi sebarang perkhidmatan yang tidak tersenarai di bawah perkhidmatan boleh dicukai.

Di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 1975, mana-mana individu boleh kena cukai yang menjalankan perniagaan dengan menyediakan perkhidmatan boleh dicukai perlu memohon lesen. Perlesenan secara sukarela juga tersedia bagi mana-mana pihak (termasuk individu, firma, persatuan, pertubuhan, syarikat atau perseorangan juridikal lain) yang tidak dikehendaki mendapatkan lesen, sekiranya dia:

  • menyediakan perkhidmatan boleh dicukai; atau
  • akan menjalankan perniagaan pembekalan perkhidmatan boleh dicukai.

 

Cukai Jualan

Cukai Jualan yang merupakan cukai berperingkat tunggal dikenakan pada peringkat pengimportan dan pengeluaran. Di Malaysia, adalah menjadi keperluan mandatori bagi semua pengeluar barangan boleh kena cukai bagi mendapatkan lesen di bawah Akta Cukai Jualan 1972. Syarikat-syarikat dengan hasil jualan kurang daripada RM100,000 dan syarikat dengan status Gudang Pengeluaran Berlesen (LMW) boleh memohon bagi sijil pengecualian lesen. Di bawah akta ini, pengeluar berlesen akan dikenakan cukai berdasarkan output manakala yang lain-lain (pengeluar tidak berlesen dan dikecualikan lesen) akan dicukai bergantung kepada input mereka.

 

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST): Baik atau Buruk?

Kerajaan akan memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk menggantikan sistem cukai sedia ada. Walaupun ramai orang mempunyai pandangan berbeza terhadap keputusan kerajaan, adalah penting bagi kita untuk memahami perbezaan antara kedua-dua sistem cukai ini dan kesannya.

Kedua-dua SST dan GST adalah cukai penggunaan. SST adalah cukai penggunaan satu peringkat manakala GST adalah cukai penggunaan pelbagai peringkat ke atas barangan dan perkhidmatan yang dikenakan di setiap peringkat rantaian bekalan. Sebelum pelaksanaan GST, kadar SST berada pada 10% (untuk cukai jualan) dan 6% (untuk cukai perkhidmatan) yang dikenakan ke atas pengeluaran dan perkhidmatan akhir sahaja. Di bawah rejim cukai SST, senarai serta pengecualian barangan bercukai adalah lebih sedikit berbanding rejim GST yang digunakan masakini. Di bawah SST, segala barang dikecualikan melainkan ia dikenakan cukai. Secara umum, hanya restoran dan hotel mewah akan mengenakan SST. Oleh itu, dalam kebanyakan kes, golongan berpendapatan sederhana rendah biasanya tidak terkena impak sistem cukai SST.

Tidak seperti SST, GST pada kadar 6% dikenakan sama rata pada setiap peringkat rantaian bekalan dari pembekal, pengeluar, pemborong dan kepada peruncit. Di bawah GST, semuanya boleh dikenakan cukai melainkan diberikan pengecualian. Walau bagaimanapun, senarai serta pengecualian barangan bercukai adalah lebih luas yang bermaksud bahawa semua barang dan perkhidmatan adalah tertakluk kepada GST melainkan barangan yang dikecualikan termasuklah barang keperluan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pengangkutan awam. Di samping itu, implikasi GST ke atas klasifikasi dan penilaian barang-barang yang dieksport tidak disediakan kerana semua barang yang dieksport adalah berkadar sifar.

 

Butiran Utama:

  1. SST dikenakan ke atas pengguna akhir manakala GST dibayar semua syarikat.
  2. SST dibayar apabila barangan digunakan sementara GST dibayar untuk setiap transaksi antara syarikat sebelum ia sampai ke tangan pengguna akhir.
  3. Cukai Jualan hanya akan dikenakan di peringkat pengeluar atau pengguna, manakala Cukai Perkhidmatan akan dikenakan ke atas pengguna yang menggunakan perkhidmatan bercukai.
  4. GST berada pada kadar tetap 6% sementara kadar SST berbeza-beza antara 5-10% sehingga kadar tertentu.
  5. GST merangkumi semua barang dan perkhidmatan sementara cukai jualan hanya mencakupi pengeluar dan cukai perkhidmatan hanya mencakupi perkhidmatan tertentu seperti contoh perkhidmatan profesional.