This post is also available in: English 简体中文 (Chinese (Simplified))

Panduan Penyelesaian Cukai Peribadi – Borang CP21, CP22A, CP22B

Sebagai majikan, adakah anda sedar akan tanggungjawab membuat laporan di bawah Akta Cukai Pendapatan Malaysia 1967? Adalah mustahak memahami tanggungjawab di bawah undang-undang ini kerana tanggungjawab tersebut adalah mandatori dan kegagalan mematuhi akan menyebabkan penalti dikenakan. Antara lain, salah satu tanggungjawab majikan ialah memaklumkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tentang pemberhentian pekerja, persaraan, kematian dan pelepasan dari Malaysia bagi seseorang pekerja.

LHDB telah mengeluarkan Panduan Operasi tentang prosedur bagi permohonan surat pelepasan cukai bagi Individu pada 12 Februari 2016. Panduan ini menjelaskan tanggungjawab setiap pihak berhubung permohonan penyelesaian cukai.

 

Pengenalan

Surat Penyelesaian Cukai (SPC) merupakan surat yang dikeluarkan LHDN bagi memaklumkan majikan tentang liabiliti cukai pekerja yang telah mati/bersara/berhenti kerja bagi membolehkan majikan membuat bayaran gaji akhir / pampasan / gratuiti kepada pekerja.

 

Bilakah masa membuat permohonan

Apabila pekerja:

  1. Meninggalkan Malaysia bagi tempoh melebihi 3 bulan; atau
  2. Berhenti dari pekerjaan; atau
  3. Bersara; atau
  4. Meninggal dunia

 

Tanggungjawab Majikan

Majikan perlu memaklumkan LHDN dan memohon SPC tidak lewat dari 30 hari sebelum tarikh di mana pekerja dijangka berlepas meninggalkan Malaysia / ditamatkan perkhidmatan atau, bagi kes kematian, dalam tempoh 30 hari selepas kematian.

Tempoh notis bertulis lebih pendek boleh dipertimbangkan sekiranya LHDN berpuas hati bahawa keadaan tertentu memerlukannya.

Majikan perlu menahan sebarang amaun wang yang hendak dibayar kepada pekerja (seperti gaji / pampasan / gratuiti) sehingga 90 hari selepas LHDN menerima pemberitahuan, atau selepas SPC dikeluarkan. Kemudian, majikan dibenarkan melepaskan bayaran yang ditahan. Dari segi praktis, majikan selalunya membuat pembayaran selepas SPC diterima.

Permohonan SPC boleh dilakukan secara permohonan online oleh majikan (e-SPC) atau melalui penghantaran borang secara manual ke cawangan LHDN yang menyimpan fail pendapatan pekerja.

 

Borang yang perlu dilengkapkan majikan:

  • Borang CP21 (Pemberitahuan oleh Majikan tentang Pekerja Meninggalkan Negara); atau
  • Borang CP22A (Borang Penyelesaian Cukai bagi Pemberhentian Pekerjaan Pekerja Sektor Swasta); atau
  • Borang CP22B (Borang Penyelesaian Cukai bagi Pemberhentian Pekerjaan Pekerja Sektor Awam); dan
  • Senarai semak permintaan SPC.

Majikan tidak dikehendaki memberi notis pemberhentian pekerjaan dalam hal berikut:-

a. Jika pendapatan pekerja tertakluk kepada PCB dan potongan telah dibuat oleh majikan; atau

b. Jika pendapatan bulanan pekerja berada di bawah jumlah minimum tertakluk kepada PCB;

dan di mana ia diketahui oleh majikan bahawa individu tersebut akan diambil bekerja di tempat lain di Malaysia.

 

Ketidakpatuhan dan Penalti

Majikan berdepan denda di antara RM200 ke RM20,000 dan hukuman penjara sehingga 6 bulan selain bertanggungjawab ke atas tanggungjawab cukai pekerja yang tertunggak.

 

Tanggungjawab Pekerja

Pekerja yang akan berhenti kerja, bersara, atau meninggalkan Malaysia melebihi tiga (3) bulan diperlukan untuk memastikan bahawa pentaksiran cukai tahun semasa dan tahun sebelumnya adalah tepat dan lengkap.

Pekerja yang akan berhenti kerja / bersara:-

i. Layak bagi PCB sebagai Cukai Akhir – pekerja tidak dikehendaki menyerahkan pulangan cukai pendapatan untuk tahun sebelumnya tetapi dikehendaki menyerahkan pulangan cukai pendapatan untuk tahun pemberhentian / persaraan pada tahun berikutnya untuk mendedahkan pendapatannya dengan sewajarnya.

ii. Tidak layak bagi PCB sebagai Cukai Akhir – pekerja dikehendaki menyerahkan pulangan cukai pendapatan untuk tahun-tahun sebelumnya dan tahun semasa pemberhentian / persaraan.

Bagi pekerja yang akan meninggalkan Malaysia melebihi tiga (3) bulan:-

iii. Layak bagi PCB sebagai Cukai Akhir – pekerja tidak dikehendaki menyerahkan pulangan cukai pendapatan untuk tahun sebelumnya tetapi dikehendaki untuk menyerahkan pulangan cukai untuk tahun penyempurnaan perkhidmatan.

iv. Tidak layak bagi PCB sebagai Cukai Akhir – pekerja dikehendaki mengemukakan pulangan cukai untuk tahun penyempurnaan perkhidmatan dan tahun sebelumnya.

 

Tanggungjawab LHDN

SPC akan dikeluarkan dalam 10 hari bekerja dari tarikh penerimaan dokumen lengkap oleh pihak LHDN.

SPC akan diberi kepada majikan dengan salinan kepada pekerja terlibat.

LHDN mungkin mengeluar sijil kepada Pesuruhjaya Polis atau Pengarah Imigresen memohon pekerja dihalang dari meninggalkan Malaysia sehinggalah dia menyelesaikan segala cukai tertunggak.

LHDN boleh memulakan tindakan sivil ke atas majikan kerana gagal membuat pembayaran bagi cukai tertunggak kepada LHDN seperti arahan SPC.